Thursday, August 09, 2007

Pertumbuhan Penduduk

Arah aliran pertumbuhan penduduk di beberapa negeri dalam tempoh RMKe-8 dijangka tidak akan mengalami perubahan yang ketara. Empat buah negeri dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi daripada kadar purata negara 2.3% setahun.
Selangor dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk yang tertinggi iaitu 4.0% setahun. Kadar pertumbuhan penduduk di Perak, Perlis dan Kelantan dijangka bertambah dengan kadar sederhana, iaitu kurang daripada 1.0% setahun berikutan daripada kadar pertambahan semulajadi yang rendah serta migrasi keluar yang tinggi.

Kadar pembandaran dijangka bertambah kepada 66.9% menjelang akhir tempoh RMKe-8. Jumlah penduduk bandar dijangka bertambah pada kadar yang lebih rendah iaitu 3.8% setahun dalam tempoh Rancangan. Negeri yang lebih maju dijangka menarik lebih ramai penduduk ke pusat bandar disebabkan kepesatan aktiviti ekonomi, peluang pekerjaan yang lebih banyak dan kualiti hidup yang lebih baik.
Di kalangan negeri lebih maju, Selangor dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk bandar tertinggi iaitu 5.0% diikuti dengan Johor 3.8% setahun. Kadar pertumbuhan penduduk bandar bagi tiga buah negeri kurang maju dijangka lebih tinggi sedikit daripada kadar purata negara. Sabah dijangka mencatat kadar pertumbuhan 4.9% setahun diikuti oleh Sarawak 4.8% dan Kedah 3.9%.

No comments: