Tuesday, August 21, 2007

Kajian Lapangan Di Kota Tinggi, Johor


Kota Tinggi merupakan salah sebuah daerah yang terdapat di negeri Johor. Bandar Kota Tinggi terletak di muara Sungai Johor. Jarak Kota Tinggi lebih kurang 40 km dari bandaraya JohorBahru. Keluasan daerah Kota Tinggi ialah 3488.7 kilometer persegi. Aktiviti ekonomi utama bagi daerah ini ialah perladangan seperti kelapa sawit dan pertanian di samping terdapat kegiatan lain seperti perikanan yang terdapat di pesisiran pantai seperti di Tanjung Sedili. Aktiviti ekonomi yang lain ialah seperti perlombongan dan perniagaan. Daerah Kota Tinggi terdiri daripada kawasan bandar, perkampungan melayu tradisional serta kawasan rancangan tanah Felda. Terdapat juga petempatan orang Asli di daerah ini.


Pada akhir tahun 2006 dan awal tahun 2007 iaitu bermula dari 19 Disember 2006 sehingga 16 Januari 2007, Kota Tinggi telah dilanda banjir paling besar dalam sejarahnya. Banjir gelombang pertama pada 19 Disember telah menenggelamkan hampir keseluruhan bandar Kota Tinggi termasuklah bank, kedai-kedai dan kompleks membeli-belah. Namun banjir gelombang kedua bermula dari 11 Januari 2007 lebih dahsyat kerana menenggelamkan tempat yang tidak ditenggelamkan sebelumnya sehingga hampir menerjah masuk ke Hospital Daerah Kota Tinggi (HDKT).


Hampir 12,000 orang dipindahkan ke Pusat-pusat pemindahan termasuk sekolah yang terpaksa dibuka dua kali kerana banjir telah melanda sebanyak dua kali. Pusat-pusat pemindahan juga ada yang turut dinaiki air menyebabkan mangsa-mangsa terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan lain. Banjir pada kali ini telah mencatatkan sejarahnya kerana air Sungai Johor telah naik sehingga 5.45 meter berbanding rekod tertinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini iaitu 4.9 meter.

No comments: