Friday, September 21, 2007

Apa Kata Responden..

RESPONDEN 1


Kamariah (bukan nama sebenar), berumur dalam lingkungan 40 tahun, Beliau mempunyai pendapatan lebih kurang RM 600.00 sebulan. Bilangan isi rumah beliau adalah seramai 6 orang dan 2 orang daripadanya bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar. Beliau menyatakan kejadian banjir yang telah berlaku penghujung tahun 2006 menyebabkan anak-anak beliau takut dan sedih selepas kejadian tersebut. Anak-anak beliau sedikit trauma selepas kejadian itu, beliau menyatakan lagi sesi persekolahan anak-anak beliau dibuka agak lewat daripada tarikh yang ditetapkan. Anak-anak beliau pergi ke sekolah dengan pakaian yang agak tidak terurus dan kelengkapan peralatan sekolah yang tidak mencukupi. Disebabkan situasi tersebut, anak-anak beliau tidak suka ke sekolah dan prestasi pelajaran mereka menurun berbanding sebelum ini. Beliau juga mengatakan sistem pembelajaran dan pengajaran terganggu disebabkan guru tidak masuk ke kelas kerana kelengkapan pengajaran tidak mencukupi dan rosak, contohnya kapur tulis dan papan hitam. Dengan ini ia memberi kesan kepada prestasi pembelajaran anak-anak dan berlakunya masalah pelajar tidak datang ke sekolah. Sesetengah daripada mereka ponteng kelas dan pulang awal ke rumah. Akibat daripada banjir besar pada Disember 2006, tersebut menyebabkan pembelajaran anak-anak beliau sedikit terganggu. Apabila hujan turun, anak-anak beliau tidak dapat belajar atau mengulangkaji pelajaran di rumah kerana takut situasi berkenaan berulang kembali.





RESPONDEN 2



Kamil (bukan nama sebenar) berusia 35 tahun, telah menetap di Kota Tinggi selama 11 tahun. Beliau berpendidikan sekolah menengah dan bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat swasta. Beliau memperolehi pendapatan sebanyak RM 1100 sebulan sebagai pemandu. Beliau telah berkahwin dengan Salmi. Hasil perkahwinan dengan Salmi beliau memperolehi tiga orang anak, dua daripada anaknya telah bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar.dan seorang lagi masih kecil. Menurut Kamil, sesi persekolahan anak-anak bermula lewat daripada tarikh yang ditetapkan akibat berlakunya bencana banjir. Akibat daripada bencana banjir tersebut pelbagai peralatan dan kemudahan untuk pengajaran dan pembelajaran rosak dan musnah. Antaranya, kerusi dan meja, bilik darjah dan bilik guru, makmal, perpustakaan, kantin, tandas, landskap sekolah, buku teks dan dokumen-dokumen dan lain-lain lagi.

Apabila ditanya perasaan beliau selepas banjir. beliau terasa amat takut dan sedih atas kejadian tersebut terutama anak-anaknya.yang masih dilanda trauma. Namun, beliau bersyukur kerana mendapat banyak bantuan daripada pihak kerajaan, NGO dan swasta terutama sekali bantuan kepada anak-anak beliau yang masih bersekolah. Beliau telah menerima bantuan dari segi kewangan, pakaian, makanan, buku teks dan alat tulis untuk anak-anak dan lain-lain. Seterusnya, kehadiran dan prestasi anak-anaknya ke sekolah amat memuaskan walaupun keadaan fizikal sekolah tidak seperti dahulu. Begitu juga sistem pembelajaran dan pengajaran lambat bermula walaupun sesi persekolahan telah bermula tetapi lama kelamaan masalah tersebut dapat diatasi dan berjalan seperti sedia biasa.

No comments: